Saintis Membuktikan Nabi Musa Membelah Laut
Di antara peristiwa yang berlaku pada 10
Muharram ialah selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel dari Firaun dan
tenggelamnya Firaun dan bala tenteranya dalam Laut Merah.Ayat 50 surah
al-Baqarah menceritakan hal ini dan hadis Nabi menerangkannya.
Saintis Barat mengemukakan teori angin
bertiup yang membelah Laut Merah untuk Nabi Musa (lihat youtube). Mereka
mengkaji tetapi mereka tidak beriman sepenuhnya dengan ajaran Musa itu
sendiri. Di antara ajarannya ialah apabila tiba Nabi akhir
zaman-Ahmad/Muhammad, maka berimanlah dengannya tetapi itu tidak
berlaku. Saintis Barat hanya menjadi seperti Yahudi yang berpuasa pada
10 Muharram meraikan Nabi Musa tetapi menolak ajaran Taurat lain.
Apa beza dengan umat Islam yang
berpuasa sunat pada hari Asyura atau membuat bubur asyura malah
mempertandingkannya seperti di Kemaman tetapi menolak ajaran al-Quran
selain puasa?
Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibn
Abbas bahawa Nabi SAW tiba di Madinah. Baginda mendapati Yahudi berpuasa
pada hari Asyura (10 Muharram). Baginda bertanya; ‘Hari apa yang kamu
puasa ini?’
Jawab Yahudi: ‘Hari ini hari mulia.
Allah menyelamatkan padanya Musa dan kaumnya, serta menenggelamkan
Firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari Aasyura sebagai tanda
syukur. Lalu kami berpuasa padanya.’ Sabda Nabi SAW : ‘Kami lebih berhak
dan utama dengan Musa daripada kamu.’ Nabi berpuasa dan memerintahkan
para Sahabat berpuasa juga. At-Tirmizi berkata:
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa
Baginda bersabda: ‘Puasalah hari ke 9 dan 10, serta jangan sama dengan
Yahudi’. Hadis ini menjadi hujjah bagi Imam Shafie, Ahmad bin Hanbal dan
Ishak. (Tafsir al-Munir j1 ms 163)
Hadis tentang Yahudi di atas ada
perbahasannya seperti yang disebut oleh Imam Nawawi dalam syarah
hadisnya. Yang penting ialah berpuasa sunat atau membuat bubur asyura
dalam keadaan sedar dengan apa yang dibuat dan menghayati Islam secara
syumul, bukan hanya buburnya. Demikian juga mukjizat Nabi Musa as yang
mendahului bukti saintifik. Kita membenarkan mukjizatnya walaupun tiada
bukti saintifik.
Lakaran artis menunjukkan angin kuat
dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan)
‘berpusing’ dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.
Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar.
Satu kajian oleh sepasukan penyelidik
yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera
Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum
fizik.
Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi
Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa
baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera
Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.
Kumpulan saintis itu yang mengkaji
beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk
kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan
Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.
Kini, dengan menggunakan simulasi
komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah
dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin
timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam
menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu
membentuk seperti dinding air.
Satu model lautan komputer kemudian
digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup
semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.
Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.
Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.
No comments:
Post a Comment