Semua yang berada di dalam garisan kuning di atas adalah al-Masjid al-Aqsa
Al-Masjid al-Aqsa adalah merupakan masjid ketiga tersuci di dalam
agama Islam. Ianya juga merupakan tempat di mana Allah memperjalankan
nabi Muhammad SAW pada waktu malam semasa peristiwa Isra’ dari al-Masjid
al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di al-Quds.
Lokasinya terletak di kawasan yang diberkati dan suci. Keberkatan
kawasan tersebut bukan sahaja dapat dinikmati daripada aspek
spiritualnya sahaja, tetapi daripada aspek material pun dapat dirasai,
seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk perladangan terbaik,
cuaca yang nyaman dan seumpamanya. Ramai nabi menjadikan bumi ini
sebagai tempat tinggal di dalam misi dakwah mereka. Masjid ini juga
pernah menjadi qiblat pertama bagi umat Islam.
Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam
al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid
ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk
menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:
Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata:
“Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke
tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds)
dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah)” – Muttafaqun alaihi dengan lafaz
daripada Bukhari.
Sehinggalah penjajahan Zionist ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa
kini sunyi daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa
pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai
ulamak kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionist,
menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa
yang sebenarnya.
Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam
yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa. Antara maklumat yang
kerap disebarkan melalui rantaian email dan tapak sesawang seperti ini,
ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) adalah bukan
al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda Zionist untuk
mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan al-Masjid al-Aqsa
yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya dengan maklumat ini.
Gambar yang kerap disebarkan untuk menunjukkan al-Aqsa yang sebenar
Dalam artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar
mengenai bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk
Palestin. Saya perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti
al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian
perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di
Al-Maktoum Institute. Saya telah mendapat keizinan beliau untuk
menyebarkan maklumat kajiannya, kerana menurut beliau ini merupakan
tanggungjawab Muslim bagi memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang
sebenarnya. Anda boleh membeli buku beliau daripada laman ini untuk
mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.
PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA
Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui
siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih
menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong
hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid
al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada
Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih
dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku
bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku
bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab,
“40 tahun.”….
Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara
al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun,
ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai
ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama.
Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu
untuk kita mencari siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.
Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah
Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah
al-Baqarah ayat 127:
“Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).”
Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas
hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid
al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain,
nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya
nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga
bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.
Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan
beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram yang sebenarnya.
Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan
Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama
sebenarnya ialah nabi Adam. Apabila nabi Adam diturunkan dari langit,
baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan
Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan
sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi
al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu Dzar tadi, baginda
telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun nabi Ibrahim, baginda
hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh
berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.
KONSEP BINAAN MASJID DI DALAM ISLAM
Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui
konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang
dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:
- Lokasi.
- Sempadan.
- Qiblah.
- Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.
Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud
yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman
nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah,
pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah
menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu
dibuat di dalam bangunan.
LOKASI AL-AQSA
Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang
dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat
(West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk
merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard
al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar.
Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu
Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang
Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di dalam Old City of
Jerusalem. Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of
Sepulchre, gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di
tenggara pagar Old City.
PLAN KA’BAH DI AL-MASJID AL-HARAM
Selain itu, kita juga perlu mengetahui bagaimanakah plan asal Ka’bah
yang telah dibina oleh nabi Adam. Ini adalah kerana kita telah faham
bahawa pembina kedua-dua bangunan ini kemungkinan besar adalah orang
yang sama berdasarkan hadith Abu Dzar tadi. Ramai yang memahami Ka’bah
sebagai bangunan berbentuk kiub yang dilitupi oleh kain kiswah hitam.
Fakta ini kurang tepat, kerana sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah
juga sebahagian Ka’bah berdasar pandangan ramai ulamak. Jika diteliti
laporan daripada al-Azraqi (meninggal 222 H), beliau telah melakarkan
plan Ka’bah seperti yang telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej
berikut:
BANGUNAN AL-AQSA YANG SEBENAR
Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut.
Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua
monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas.
Hujjahnya ialah seperti berikut:
- Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa
juga. Semua bersetuju yang nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome
of the Rock sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam
pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Dome of the Rock
dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
- Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh
jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah
lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.
- Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak
mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika
dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan
pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap
hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi
daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.
4. Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan
cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan
masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock
sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling
suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan
Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan
qiblat/Ka’bah. Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan
pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah
Ka’bah.
Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk
tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya
menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada
di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid
Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan,
pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome
of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.
KESIMPULAN
- Al-Aqsa ialah kawasan yang meliputi semua monumen, bangunan dan
tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini
termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan sebahagian daripada
al-Masjid al-Aqsa.
- Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang
kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran
Zionist sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the
Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi.
Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Dome of the
Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.
- Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr
Haithem, serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah,
pembinaan Jami’ Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah
pemerintah yang menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.
Sumber: samzha,abidfana,google