Ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.
KEWAJIPAN bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Begitu istimewa sekali ibadah solat sehingga Rasulullah SAW naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain. Keistimewaan solat menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri. Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik. Kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM). Dr. Fatimah berkata, kajian yang dijalankan buat masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh badan dan kolestrol. Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga batin. "Komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah. "Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan kajian mengenai komposisi badan. Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap komposisi badan. Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan. "Kami menjalankan kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya. Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah. Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir. Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna. Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan. "Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu," katanya. Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang. Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri. Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari. Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat. Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat. "Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.
No comments:
Post a Comment